MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan rampasan bernilai RM4.9 juta membabitkan 317 kes di Melaka sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia adalah hasil daripada pemeriksaan ke atas 30,021 premis serta 785 aduan diterima daripada orang ramai.

“Sebanyak 20 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai
rampasan sebanyak RM4.8 juta dan kompaun yang diterima sebanyak RM30,000.

“Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 merekodkan kes tertinggi sebanyak 189 kes dengan nilai rampasan berjumlah 1,549.70, dengan nilai kompaun berjumlah RM35,600,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2023 di sebuah pasar raya di Cheng di sini, hari ini.

Tambah Hee Sem, para peniaga di Melaka khususnya di kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir diingatkan mematuhi arahan meletakkan tanda harga, bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan kompaun serta-merta.

Tegasnya, kementerian tidak akan berkompromi ekoran sikap peniaga yang ingkar tidak mempedulikan arahan meletakkan tanda harga.

“Saya lihat peniaga di Jonker Walk masih degil walaupun kelmarin sudah ditegur, tetapi semalam hasil tinjauan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mereka masih tidak meletakkan tanda harga.

“Tiada lagi amaran akan diberikan seperti sebelum ini, sebaliknya peniaga akan terus diberikan notis kompaun serta merta jika didapati mereka tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual,” jelasnya. – UTUSAN

The post KPDN Melaka rekod nilai rampasan RM4.9 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *