SEREMBAN: Kegiatan haram pemindahan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah stor di Kampung Bemban, Mambau di sini terbongkar selepas diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan pada pukul 10.50 malam itu, pasukan penguat kuasa telah menemui sejumlah 24 tong gas LPG 50 kilogram (kg) yang berisi dan 39 tong LPG 50 kg yang kosong untuk kegunaan industri manakala sebanyak 114 tong LPG 14 kg yang kosong untuk kegunaan domestik berada di stor berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati stor ini disyaki digunakan sebagai tempat memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong gas LPG kegunaan industri berdasarkan penemuan peralatan seperti hos paip, mesin pam dan alat timbang.
“Selain itu, premis dan individu yang ditemui di lokasi kejadian juga didapati tidak mempunyai sebarang lesen atau Surat Kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan barang kawalan gas LPG,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, hasil serbuan itu, pihaknya telah menyita kesemua 63 tong LPG 50 kg (berisi dan kosong), 114 tong LPG 14 kg (kosong), sebuah lori serta peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG bagi tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM38,320.
“Tindakan kes ini adalah hasil risikan yang dijalankan oleh KPDN Negeri Sembilan selama satu bulan di kawasan berkenaan.
“Serbuan ini juga membabitkan penahanan dua lelaki warganegara Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun yang merupakan pekerja di stor berkenaan. Kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN.
The post KPDN serbu stor seleweng gas petroleum cecair appeared first on Utusan Malaysia.