BACHOK: Anggota pengkuat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mematahkan aktiviti menyeludup 7,140 kilogram (kg) minyak masak peket ke negara jiran selepas menyerbu sebuah premis di Kampung Beris Kubur Besar, di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 4.40 petang itu, KPDNHEP Kelantan bersama sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya menyita lima buah kenderaan pelbagai jenis yang diguna untuk kegiatan berkenaan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota telah intipan dan mendapati beberapa individu sedang memunggah kotak-kotak yang disyaki berisi minyak masak ke dalam beberapa buah kereta terbabit.

Menurutnya, sejurus menyedari kehadiran anggota sekumpulan lelaki yang sedang leka memunggah minyak masak itu terus bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut telah menemui sejumlah minyak masak bersubsidi yang dianggarkan sebanyak 7,140 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM17,850.00 gagal diseludup keluar.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan menjadikan kawasan luar sempadan sebagai transit bekalan minyak yang dibawa dari luar Kelantan. Mereka akan mengangkut bekalan itu ke sempadan dengan menggunakan kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

The post KPDNHEP patahkan penyeludupan 7,140 kg minyak masak peket appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *