PETALING JAYA: Bagi membantu golongan B40 di kawasan bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dengan matlamat meningkatkan kemahiran supaya mampu mengusahakan perniagaan.

Ini seterusnya dapat membantu mereka meningkatkan kualiti hidup.

Program PEKB menyasarkan penyertaan daripada golongan B40 yang berdaftar dalam sistem eKasih dan berumur 18 – 60 tahun.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti oleh KPKT yang akan melaksanakan pencarian dan bancian peserta yang berminat sebelum kursus keusahawanan selama tujuh hari dilaksanakan.

Abdul Hakim Jamal berjaya dalam perniagaan Apam Balik Crispy hasil bimbingan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Skop latihan program ini telah dirangka secara menyeluruh dalam bentuk pakej bermula daripada aspek motivasi, pengurusan kewangan, pemasaran sehingga membina upaya kemahiran peserta melalui latihan praktikal dalam bidang latihan yang diikuti.

Sebanyak 14 bidang telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Program PEKB seperti makanan dan minuman, jahitan, urutan spa dan post-natal, servis telefon bimbit atau penghawa dingin serta peruncitan dan pemasaran.

Peserta program ini juga akan dibekalkan dengan perkakasan dan peralatan yang sesuai dengan bidang perniagaan yang ingin diterokai secara percuma.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Program PEKB, peserta akan dipantau selama enam (6) bulan untuk melihat potensi prestasi perniagaan mereka.

Peserta juga akan diberikan sokongan dan bimbingan tambahan dalam tempoh tersebut agar mereka dapat mengekalkan momentum dan kesungguhan dalam bidang keusahawanan.

Pelaksanaan Program PEKB di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ini adalah selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Agenda KPKT: Malaysia Berdaya Huni.

Nor Asniza Othman di hadapan premisnya yang menjual Kopi Ais Kaw dan ayam gunting.

Sebanyak RM26.9 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini pada tahun 2021 dan 2022. Sebanyak RM10 juta peruntukan tambahan juga telah disediakan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Sehingga kini, seramai 3,924 orang peserta telah selesai dilatih dan dibekalkan dengan peralatan perniagaan.

Antara kisah kejayaan peserta yang dilatih di bawah Program PEKB adalah Nor Asniza Othman yang menjalankan perniagaan ayam gunting dan air kopi. Beliau kini berjaya membuka dua cawangan perniagaan tambahan.

Abdul Hakim Jamal pula yang menjalankan perniagaan Apam Balik Cripsy kini berjaya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM5,000.

Pelawaan kini sedang dibuka kepada NGO yang berminat untuk melaksanakan PEKB Tahun 2023. Untuk maklumat lanjut sila layari www.kpkt.gov.my.

Tarikh tutup permohonan: 15 November 2022

The post KPKT: Pemerkasaan B40 melalui NGO appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *