LONDON: Pengendali Chelsea, Graham Potter semakin kusut untuk mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas kehilangan dua tonggak dalam tempoh 20 minit ketika pasukannya tum­pas 0-1 kepada Manchester City di Stamford Bridge semalam.

Blues sebelum itu sudah pun kehilangan Mason Mount yang ditimpa kecederaan ketika sesi latihan.

Mimpi ngeri buat Potter bermula hanya selepas tiga minit wisel perlawanan dibunyikan apabila Raheem Sterling tidak dapat meneruskan permainan setelah diterjah pertahanan City, John Stones.

Tidak lama selepas itu, Potter kehilangan Christian Pulisic apabila Stones sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan membuat terjahan keras ke atas pemain itu.

Ini menjadikan 10 pemain utama Chelsea terpaksa disisihkan kerana berada dalam senarai kecederaan selepas Edouard Mendy, Reece James, Wesley Fofana, Ben Chilwell, N’Golo Kante, Ruben Loftus-Cheek dan Armando Broja ­masing-masing sedang dalam proses rawatan pemulihan.

Potter tanpa berselin­dung menjelaskan keputusan kurang memberangsangkan dilakar Chelsea juga hasil kekurangan pemain terbaik yang ada dalam pasukan ketika ini.

PEMAIN sayap Chelsea, Raheem Sterling menerima rawatan selepas dikasari pertahanan Manchester City, John Stones dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London semalam. – AFP

“Jika anda rasa mudah untuk menjadi konsisten, cuba melakukannya dengan pemain yang kami masih ada.

“Bukan saya sahaja yang menyuarakan hal ini, kerana inilah cabaran yang saya perlu hadapi tetapi dalam masa yang sama ia menjejaskan prestasi pasukan, ditambah jadual yang padat.

“Amat mudah untuk me­ngatakan kami hanya perlu sediakan 11 pemain dan biarkan mereka beraksi tetapi itu bukanlah realitinya.

“Anda perlu membuat perubahan kerana jika keputusan tidak memihak anda, sudah pasti akan dikritik,” jelas Potter.

Chelsea tewas kepada City hasil jaringan Riyad Mahrez dan bakal bertemu lawan sama dalam Piala FA, ­Isnin ini. – AGENSI

The post Krisis kecederaan Chelsea meruncing appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *