KUALA LUMPUR:  Tidak adil untuk melabel pelawak yang sering menyentuh isu politik dan mengkritik pemerintah dalam persembahan komedi mereka sebagai antikerajaan.

Bagi pengacara dan pelawak, Harith Iskander, 56, persepsi itu tidak sepatutnya ada kerana persembahan lawak mereka masih mempunyai batas serta tidak keterlaluan.

Harith berkata, pelawak biasanya akan menjadikan pihak yang menang dan dikenali ramai sebagai bahan dalam persembahan lawak mereka, berbanding golongan yang kalah atau minoriti.

“Kami bukan antikerajaan.  Ramai yang tidak faham kerana biasanya pelawak akan membuat persembahan komedi bersandarkan kepada sesuatu yang megah.

“Kita tidak boleh buat lawak fasal penganggur kerana subjek itu ‘underdog’. Sebaliknya, kita buat lawak mengenai sesuatu perkara yang orang semua tahu.

“Ketika Pakatan Harapan menang Plihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, ramai yang buat lawak mengenai mereka dan bukan Barisan Nasional kerana mereka kalah,” katanya.

Harith berkata, konsep komedi mengenai isu politik bukan sahaja dipraktikkan di sini, malah telah lama menjadi bahan untuk dicerna penonton di luar negara.

“Sama seperti di Amerika Syarikat, pelawak mereka ada buat jenaka mengenai Presiden Joe Biden, Donald Trump dan bukan parti pembangkang kerana ia lebih mudah difahami ramai,” katanya.

Mengulas mengenai Persembahan Komedi Paling Penting Tahun Ini Relazz-lah Malaysia, Harith berkata, persembahan itu turut menampilkan Prakash Daniel, Mad Sabah dan Brian Tan.

Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 November ini, persembahan komedi itu bertujuan menghiburkan rakyat yang masih berusaha bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

Pembelian tiket berharga RM188 hingga RM388 boleh dilakukan dengan menghubungi talian: 013-3907165.

The post Kritik bukan bermakna kami antikerajaan – Harith Iskander appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *