PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui TalentCorp akan terus memacu usaha mendorong rakyat Malaysia di luar negara untuk membawa pulang kepakaran mereka melalui Program Kepulangan Pakar (REP) melalui inisiatif baharu, [email protected] (MyHeart). 

Menterinya, V. Sivakumar berkata, MyHeart diperkenalkan sebagai platform untuk berhubung dengan diaspora Malaysia dan bekerjasama dalam inisiatif yang dapat memanfaatkan negara. 

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, platform berkenaan akan mula dilancarkan sekitar suku pertama tahun ini. 

“Dalam masa sama, KSM berusaha memperkukuh saluran bakat negara, membina tenaga kerja masa depan, mempromosi kepelbagaian bakat, mendukung dasar tempat kerja progresif serta memudah cara mobiliti tenaga kerja dan memanfaat kepakaran global,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KSM di sini hari ini. 

Utusan Malaysia pada Selasa melaporkan, Malaysia bakal kehilangan lebih satu juta pakar dalam pelbagai bidang tenaga kerja dan siswazah ke negara-negara lain pada 2030 jika isu penghijrahan profesional (brain drain) tidak diatasi dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang. 

Ini berdasarkan laporan Bank Dunia mengenai brain drain di Malaysia yang menunjukkan, jumlah warganegara berhijrah ke luar negara semakin meningkat dalam tempoh setiap 10 tahun, bermula dengan 99,306 individu pada 1990 meningkat kepada 164,884 individu pada 2000.

Angka itu meningkat kepada 276,558 individu pada 2010 dan dianggarkan kira-kira 500,000 warganegara berkemahiran tinggi bekerja di luar negara sejak 2020, satu pertiga daripada sekitar dua juta warganegara yang menetap di luar negara ketika ini.

Sementara itu, Sivakumar berkata, KSM mencadangkan agar Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan ditetapkan sebagai persijilan tunggal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bagi semua program Tahap 1 hingga 5 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). 

Menurutnya, kecelaruan pelaksanaan TVET di negara ini dilihat berpunca daripada kewujudan pelbagai persijilan yang diakreditasi oleh dua agensi kawal selia iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Penyeragaman program TVET berasaskan SPKM ini bakal menjadi satu wadah baharu dalam memperkasakan TVET negara. Sebagai penyedia, Jabatan Tenaga Manusia perlu menilai semula kursus-kursus yang ditawarkan agar ia menepati keperluan semasa industri supaya tidak wujud sindrom ‘mismatch’.

“Kursus-kursus yang ditawarkan perlu ditambah baik dengan elemen-elemen digitalisasi, automasi dan lain-lain yang selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0,” ujarnya. 

Mengulas mengenai perancangan bagi mendepani cabaran semasa dan akan datang, Sivakumar berkata, KSM merangka Pelan Strategik 2023-2025 yang merangkumi lima teras.

Ia membabitkan pemerkasaan modal insan berkemahiran; pengukuhan pasaran buruh; jaminan hak keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan sosial pekerja; pemantapan penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang dan pengukuhan dan pemerkasaan tadbir urus. – UTUSAN

The post KSM perkenal inisiatif MyHeart, bawa pulang pakar Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *