GUA MUSANG: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya pucuk kepimpinan parti mahu beliau kekal di kawasan berkenaan.

Tengku Razaleigh atau Ku Li mendakwa, beliau masih mendapat sokongan penuh daripada ahli UMNO bahagian Gua Musang dan rakyat di daerah ini termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada parti (untuk membuat keputusan). Di Gua Musang ini setiap tahun mereka (rakyat)  tak nak bagi saya bersara, terutama sekali Orang Asli.

“Mereka buat keputusan ramai-ramai tak mahu calon lain. Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Ab. Aziz Yusoff juga berkata selagi saya tak ‘gogek’ (goyah) saya kena tawar diri untuk bekerja lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Gua Musang di sini, hari ini.

Sementara itu, UMNO bahagian Gua Musang telah sebulat suara untuk mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Ahli Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ab. Aziz Yusoff memberitahu ahli akar umbi masih inginkan Ku Li berdasarkan prestasi dan rekod baik beliau sepanjang penggal yang lepas. 

Sebagai rekod, Tengku Razaleigh merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, selama sepuluh penggal sejak memenangi kerusi Ulu Kelantan pada 1974.

Pada PRU14 lalu, beliau mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen Gua Musang  selepas menang dengan majoriti 3, 913 undi dalam saingan tiga penjuru bersama Pas dan Pakatan Harapan. –UTUSAN

The post Ku Li sedia pertahankan kerusi Gua Musang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *