PUTRAJAYA – Calon Barisan Nasional  (BN) P125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kesal susulan poster gambarnya diconteng, semalam.

Tengku Adnan (Ku Nan) ketika ditemui berkata, insiden itu kali pertama dialaminya selepas empat kali bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

“Saya sedih, datang orang dari hutan mana datang dia cat poster saya, pangkah poster saya dan jahanamkan bahan kempen yang kami pasang.

“Kita sudah buat laporan polis malam tadi. Putrajaya adalah tempat yang aman dan kita tidak mahu insiden ini berlaku lagi.

“Kita telah didik warga kita bersama-sama bersatu padu dan mempunyai etika yang baik. Ini konsep kita, konsep kekeluargaan,” katanya ketika ditemui pada satu program di Anjung Floria, Presint 4, hari ini.

Katanya, beliau sudah mengarahkan jentera kempen supaya tidak melakukan tindak balas terhadap insiden itu dan menyerahkan kepada pihak polis.

Namun, Ku Nan menasihatkan pihak yang melakukan perkara itu supaya menghentikan perbuatan sedemikian kerana ia tidak boleh diterima sama sekali di Pusat Pentadbiran Kerajaan ini.

“Sebagai ketua kampung di sini, saya jaga kampung ini dengan aman sejahtera. Kenapa lakukan semua ini kalau tahu kamu sudah nak kalah. Jangan terdesak sangat kita nak bertanding. Bertandinglah secara baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.

“Kami mengesahkan dua laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan perbuatan khianat,” katanya. – UTUSAN

The post Ku Nan kesal poster diconteng appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *