KUALA PILAH: Kawasan kediaman (residensi) yang kondusif, mesra keluarga, praktikal dan mampu milik perlu diwujudkan di daerah ini bagi menampung kehadiran lebih ramai penduduk dari luar.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pembangunan seperti itu juga mampu meningkatkan lagi pembangunan di kawasan sekitar selain bagi melaksanakan transformasi di Kuala Pilah pada masa hadapan.

“Kawasan ini telah menerima kehadiran penduduk dari daerah lain terutama bandar Seremban yang sudah pesat membangun. Kawasan kediaman ini apabila dibangunkan ia juga akan lengkap dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur seperti jajaran baharu jalan dari Langkap ke Bandar Seri Jempol yang sedang dilaksanakan ketika ini. 

“Saya juga berhasrat menjadikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah di Beting sebagai kampus induk di Negeri Sembilan bagi memberi peluang lebih ramai pelajar dapat melanjutkan pelajaran di situ yang boleh memuatkan hampir 3,000 pelajar pada satu-satu masa,” katanya  ketika ditemui pemberita selepas mengadakan berkempen dan bertemu penduduk Pekan Ahad, Tanjung Ipoh di sini.

Eddin Syazlee yang juga penyandang kerusi Kuala Pilah dalam pada itu memberitahu, tahap kesihatannya kini semakin baik namun mengakui perlu menghadkan jadual kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Alhamdulillah,  kesihatan saya semakin baik cuma pergerakan tidak seperti dahulu dan perlu menghadkan jadual kempen setakat lima program sehari. Jika sewaktu hari penamaan calon saya perlu bertongkat kini saya sudah tidak memakai tongkat untuk berjalan. 

“Saya berharap keadaan kesihatan bertambah baik dan menerima sambutan baik  dan memberangsangkan daripada rakyat Kuala Pilah,” katanya. 

Pada PRU15 kali ini, Eddin Syazlee dicabar empat calon lain iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Adnan Abu Hassan, calon Pakatan Harapan (PH) Nor Azman Mohamad, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Kamarulzaman Kamdias dan wakil Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Azman Idris.-UTUSAN.

 

The post Kuala Pilah perlu kawasan kediaman kondusif appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *