PETALING JAYA: Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya mengelak daripada diheret pasukan Penang FC ke penentuan sepakan penalti untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia menerusi jaringan lewat Wan Faiz Wan Sulaiman untuk kemenangan agregat 4-3.

Aksi yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak sebentar tadi menyaksikan kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan kedudukan agregat 2-2 selepas terikat ketika perlawanan timbal balik pertama yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang 26 Oktober lalu.

Bagaimanapun pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila Adib Abdul Raop berjaya merampas bola daripada kawalan pertahanan Kuching City untuk membuat hantaran tepat kepada Lucas Silva untuk menewaskan penjaga gol,Shaiful Wazizi Mohammad pada minit ke 22.

Kuching City terpaksa menanti sehingga babak kedua untuk menyamakan kedudukan agregat menerusi sepakan percuma yang diambil Mohamad Alif Hassan pada minit ke 62.

Selepas itu perlawanan berlangsung dengan begitu sengit dengan kedua-dua pasukan cuba untuk menambah jaringan, sehingga ia terpaksa berlanjutan ke masa tambahan.

Tatkala perlawanan hanya berbaki tiga minit sahaja lagi untuk diheret ke penentuan sepakan penalti, tanpa diduga gerakan yang dilakukan Wan Faiz Wan Sulaiman berjaya membuahkan hasil apabila tandukannya mengelirukan penjaga gol Penang FC,Hafizul Hakim Nizam Jothy untuk meletakkan tuan rumah di depan, sekaligus menyaksikan Kuching City melangkah ke suku akhir dengan kemenangan agregat 4-3.

Justeru Kuching City bakal membuat perhitungan dengan pasukan Sabah untuk aksi suku akhir selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya menumbangkan UiTM FC dengan agregat 3-2.-UTUSAN

The post Kuching City ‘tunjuk’ Penang FC jalan keluar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *