KUALA SELANGOR: Sebuah keluarga terkejut menemui seekor ular sawa batik seberat 15 kilogram (kg) di dalam sangkar kucing peliharaan mereka di Batu 3 di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu disedari pemilik rumah yang melihat reptilia sepanjang lima meter berkenaan bersama kucing tersebut.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor berkata, seramai empat anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 3.20 pagi.

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati ular sawa itu masih dalam sangkar di luar rumah berkenaan. Ular itu berada di bahagian bawah manakala seekor kucing di atas sangkar tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau, operasi dijalankan secara berwaspada bagi mengelak reptilia itu bertindak agresif dan melarikan diri.     

“Anggota kami mengambil masa selama 12 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas. Kucing berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tambahnya, ular sawa berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

The post Kucing peliharaan nyaris jadi santapan ular sawa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *