JAKARTA: Indonesia berjaya mendapatkan peningkatan kuota sebanyak 221,000 jemaah tanpa had umur untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah tahun ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq F Al Rabiah di Jeddah.

Kuota itu terdiri daripada 203,320 jemaah haji biasa dan 17,680 jemaah haji khas dengan kuota pegawai turut dinaikkan kepada 4,200 orang. 

“Alhamdulillah, misi haji 2023 sudah dimulakan. Saya menandatangani perjanjian haji dengan Menteri Haji Saudi dan kuota haji Indonesia tahun ini sudah dinaikkan,” jelas Yaqut.

Selain kuota, perjanjian ini turut mengawal pendaratan pesawat di Jeddah dan Madinah, serta beberapa polisi baharu berkaitan perkhidmatan haji.

Kuota haji untuk jemaah Indonesia pada tahun lalu adalah 100,051 orang dan kerajaan Arab Saudi sebelum ini melaksanakan syarat umur bagi jemaah haji di bawah 65 tahun.

 “Mengikut perjanjian, tahun ini tiada had umur jemaah haji. Ini bermakna jemaah yang berumur 65 tahun ke atas juga boleh naik haji tahun ini,” katanya.-AGENSI

The post Kuota haji Indonesia meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *