SAUDARA PENGARANG,

SEPULUH tahun dahulu, obesiti hanya dikenal pasti sebagai faktor risiko kesihatan untuk penyakit kardiovaskular khususnya penyakit jantung. Namun, sejak lima tahun kebelakangan, bersandar penemuan saintifik, masalah obesiti ternyata satu penyakit yang membawa kesan buruk terhadap kesihatan dan menyumbang kepada penyakit-penyakit serius terutama jantung dan diabetes.

Semua impikan gaya hidup sihat, namun untuk membuat perubahan bukanlah satu perkara mudah. Membuang tabiat buruk dan menggantikannya dengan tabiat baik bukan perkara mudah untuk seseorang melakukannya. Untuk memulakan gaya hidup sihat, anda perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti penjagaan makanan, kesihatan mental dan senaman fizikal.

Asasnya ramai tahu tetapi kenapa masih ramai gagal? Salah satu puncanya adalah membuat perubahan mendadak ketika melakukan senaman sehingga menyebabkan sakit badan. Akhirnya, jadi malas untuk bersenam dan putus asa.

Mengawal makan melalui tip diet yang melampau untuk turunkan berat badan dengan pantas adalah satu kesalahan besar sebaliknya gaya pemakanan sihat adalah menyedari apa yang masuk ke mulut, bukan makan mengikut nafsu. Salah satu cara mudah untuk mengawal pemakanan adalah menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia yang disarankan Kementerian Kesihatan iaitu makan nasi dalam kuantiti yang terkawal selain banyakkan aktiviti fizikal seperti kerja rumah.

Bagi yang Muslim, ibadah solat dan doa juga adalah salah satu bentuk meditasi. Ketika solat kita ibarat terpisah sebentar daripada dunia, lupakan seketika semua masalah, ia adalah masa kita dengan Tuhan.  Kemudian luahkan semuanya dalam doa anda.

Oleh itu, kita perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak mengabaikan aktiviti yang berfaedah seperti bersukan dalam kegiatan seharian.-UTUSAN

SYAHIRAH MOHD. SUKRI
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

The post Kurang makan nasi boleh cepat kurus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *