KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disaran mengambil iktibar dengan isu penolakan dan kurangnya sokongan pengundi Melayu yang sedang dihadapi UMNO ketika ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, parti itu dan Perikatan Nasional (PN) harus mengambil perhatian serius tentang perkara tersebut kerana perkara sama boleh berlaku kepada gabungan tersebut jika tidak berhati-hati.

“Kami melihat apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah kritikal, sebab apa yang berlaku dalam UMNO (sekarang) boleh terjadi kepada Bersatu.

“Kalau kami tidak jaga, perkara sama boleh berlaku pada kami juga, jadi kami bukan bersorak dengan apa yang berlaku di PWTC ketika ini. Kita kena belajar supaya jangan lupa dan buat benda yang sama.

“Kalau sekiranya hari ini UMNO berasa kesal dengan sokongan orang Melayu semakin berkurangan. Kami pula boleh gembira kerana sokong orang melayu semakin meningkat, tapi tidak boleh seronok sangat sebab UMNO dulu seperti kami juga iaitu juara untuk mewakili suara orang melayu, sekarang kami mewakili suara orang Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota Indera Mahkota di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, UMNO tidak boleh menyalahkan orang lain apabila parti itu kehilangan sokongan khususnya orang Melayu.

Jelasnya lagi, ia jelas terbukti melalui ucapan perasmian perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 Rabu lalu, yang cukup memalukan.

“Saya lihat PAU 2022 kali ini agak kelam kabut, apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berucap bermula dengan menuduh 10 Ahli Parlimen sebagai pengkhianat.

“Dalam pada itu tidak pula disoal mengapa sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada perjanjian sulit antara Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang saya fikir perkara tersebut perlu dijawab terlebih dahulu.

“Pada pandangan saya, ahli UMNO tentu terkilan dengan kenyataan beliau (Mohamad) yang mengatakan sekian lama berjuang, tetapi sokongan orang Melayu semakin berkurangan. Ia adalah berpunca daripada kelemahan parti itu sendiri dan begitu memalukanlah apabila dia (Mohamad) merasa sudah tidak boleh berjuang untuk orang Melayu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lebih lanjut berkaitan hal dalaman UMNO kerana beranggapan dia bukan ahli parti berkenaan.

Sementara itu, berkaitan pergolakan politik di Sabah baru-baru ini, beliau kesal apabila ada pihak cuba menuduh pihaknya belum bergerak ke hadapan selepas PRU15.

“Kami dah reda jadi pembangkang, kami nak lihat ketenangan politik wujud, tapi apa yang berlaku di Sabah, siapa yang belum move on?

“Nampaknya orang yang selama ini kata ‘move on’ tetapi dia yang tak ‘move on’, kami sebenarnya dah ‘move on’, kerana kami sendiri dah ‘declare’ kami adalah pembangkang,” katanya. – UTUSAN

The post Kurang sokongan pengundi Melayu, Bersatu jangan jadi seperti UMNO – Saifuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *