LAWEUENG: Hampir 200 pelarian Rohingya yang tiba di pantai Aceh kelmarin menerima rawatan perubatan kecemasan berikutan keadaan mereka yang terlalu lemah kerana kekurangan air dan makanan.

Ketibaan itu merupakan yang keempat melibatkan pelarian Rohingya di bumi Aceh sejak beberapa bulan lalu.

Bot kayu yang membawa kumpulan pelarian itu tiba di pantai di bahagian palig barata Aceh pada pukul 5.30 petang waktu tempatan, menurut jurucakap polis, Winardy.

“Seramai 185 pelarian Rohingya tiba di Pidie. Daripada jumlah tersebut, seramai 83 lelaki dewasa, 70 wanita dewasa dan 32 kanak-kanak.

“Ketika ini, kesemua pelarian tersebut ditempatkan di sebuah pusat tempatan dengan sebahagiannya menerima rawatan perubatan,” kata Winardy.

Pihak berkuasa Indonesia tidak dapat memastikan jarak dan juga lokasi asal perjalanan kumpulan pelarian tersebut, namun seorang daripada mereka memaklumkan, kumpulan itu berlepas dari Bangladesh.

“Kami datang dari kem pelarian di Bangladesh dan berharap pihak berkuasa Indonesia dapat membantu anak-anak Rohingya mendapatkan pendidikan,” kata seorang pelarian, Umar Faruq.

Terdahulu, sebuah bot membawa 57 pelarian Rohingya juga dilaporkan tiba di pantai Aceh selepas sebulan berada di lautan.

Pada November lalu, dua bot membawa 229 pelarian Rohingya mendapat di wilayah yang sama.

Dipercayai kesemua pelarian itu dalam perjalanan menuju ke Malaysia, namun disebabkan masalah kekurangan makanan dan masalah pada enjin bot, mereka sering terkandas di Indonesia. – AFP

The post Lagi bot bawa pelarian Rohingya berlabuh di Aceh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *