KINSHASA: Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dalam rempuhan di konsert bintang muzik Afrika, Fally Ipupa yang berlangsung di stadium terbesar di ibu negara Republik Demokratik Congo.

Lapor Al Jazeera, Menteri Dalam Negeri, Daniel Aselo Okito menyalahkan pihak penganjur berhubung insiden yang berlaku sehingga meragut nyawa pengunjung.

Katanya, stadium Martyrs di Kinshasa menerima jumlah pengunjung yang luar biasa sehingga ‘melebihi kapasiti 100 peratus’.

Wartawan Reuters yang berada di konsert tersebut melaporkan stadium itu sesak dengan penonton melangkaui kapasiti 80,000 pengunjung.

Malah, sebahagian pengunjung juga terpaksa membanjiri kawasan koridor dan tempat duduk tetamu VIP.

“Seramai 11 individu meninggal dunia termasuk dua anggota polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Jelas Okito, beliau kesal dengan insiden ‘kehilangan nyawa’ dan menegaskan pihak penganjur harus dihukum atas kejadian itu.

Terdahulu, pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai ganas yang berkumpul di luar stadium sebelum konsert itu.

Sementara itu, seorang anggota polis di lokasi kejadian memberitahu agensi ACP bahawa kematian tersebut berpunca daripada rempuhan yang menyebabkan mangsa lemas.

Menurut ACP, polis meletakkan penghadang di tiga kawasan untuk melindungi sekitar padang, tempat duduk tetamu kenamaan dan pentas.

The post Lagi insiden rempuhan, 11 maut dalam konsert di Congo appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *