SHAH ALAM: Pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood), Azlan Sani Za­­wawi yang terkenal dengan panggilan Lando akan memperjuangkan isu jalan berlubang di negara ini di peringkat Parlimen.

Menurut Lando, dia akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini di Parlimen Tanjong Karang.

“Saya akan bertanding di kerusi ‘panas’ di Selangor iaitu di Tanjong Karang mewakili parti Gerakan Tanah Air (GTA).

“Watikah pelantikan sebagai calon GTA akan diberikan petang ini dalam satu majlis bersama Pengerusi Gerakan Tanah Air, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bangi Convention Centre,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lando berkata, tujuan utama beliau memasuki bidang politik adalah untuk ‘membetulkan’ sistem yang ada ketika ini yang dikatakan lambat bertindak.

Katanya, jalan rosak dan berlubang bukan sahaja merosakkan kenderaan malahan menyebabkan banyak nyawa melayang.

“Kini masanya saya masuk politik, sebab 16 tahun berlawan di luar sistem.Ini masanya untuk berada didalam sistem itu sendiri dan mengubahnya.

“Sebab itu saya sebagai mewakili Brotherhood mahu sistem ini ‘dikembalikan’ semula supaya setiap masalah atau aduan dapat disegerakan.

“Bukan sahaja berkaitan jalan raya tetapi melibatkan semua aduan supaya ia dapat dilaksanakan dengan pantas demi keselesaan rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, dalam masa yang sama kata Lando, apabila dia berada dalam sistem kerajaan, sekurang-kurangnya dia dapat membantu mengurangkan karenah birokrasi yang wujud dalam sistem pentadbiran ketika ini.

Terdahulu dalam PRU14, calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 1,970.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada gabungan pakatan pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Pas iaitu Nor Az Azlan Ahmad. –UTUSAN

The post Lando akan perjuang isu jalan berlubang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *