KOTA BHARU: Pas menyifatkan khabar angin berhubung ‘Langkah London’ bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan hanyalah ‘cerita dongeng’ dan sengaja direka atas tujuan tertentu oleh pihak-pihak tidak beranggungjawab.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan langkah berkenaan sebenarnya sedang bercuti bersama-sama keluarga di London.

“Saya ada menghadiri mesyuarat di rumah beliau (Muhyiddin) dan beliau sendiri memaklumkan mahu bercuti bersama-sama keluarga di London. Biasalah, penjawat awam termasuk anggota Kabinet pun diberi cuti pada hujung tahun.

“Kebetulan (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama keluarga juga bercuti ke luar negara pada masa sama. Tetapi beliau bercuti ke Dubai dan bukan ke London,” ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah pagi di Medan Ilmu, di sini semalam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, disebabkan kedua-dua pemimpin itu bercuti serentak ke luar negara, ada pihak membuat spekulasi walaupun sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku.

Katanya, PN tiada perancangan untuk membuat sebarang peralihan kuasa namun sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada berunding dengan mana-mana pihak yang bersedia bersama-sama dengan gabungan itu.

“Jika berlaku pun (peralihan kuasa) ia akan berlaku melalui sistem yang dibenarkan dalam sistem demokrasi berparlimen. Ia tidak akan berlaku di luar konteks berkenaan.

“Lagipun kita ada Akta Lompat Parti yang telah digubal bagi menghalang mana-mana Ahli Parlimen melompak kepada mana-mana parti politik. Kalau mereka lompat, maka gugur jawatannya,” katanya. – UTUSAN

The post Langkah London ‘cerita dongeng’- Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *