SAUDARA PENGARANG,

SEJAK akhir-akhir ini, kempen Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak berkisar tentang jawatan menteri walaupun beliau sebelum ini sering mengatakan dirinya ber­fikir soal perjuangan, bukan jawatan.

Dalam satu kempen, beliau mengatakan akan memotong gajinya dan gaji menteri. Kulit ucapan beliau ini hanyalah untuk membeli jiwa rakyat agar dilihat prihatin kepada masalah penduduk.

Siapa beliau hendak potong gaji menteri? Hanya Perdana Menteri boleh lakukan. Maka, beliau hendak memberitahu kepada rakyat bahawa dirinya akan menjadi Perdana Menteri, itu sahaja.

Di Sabah, beliau sekali lagi membangkitkan soal jawatan. Beliau berhasrat mahu melantik beberapa orang lagi sebagai timbalan perdana menteri (TPM). Isi kepada tawaran ini juga sama. Hanya Perdana Menteri berkuasa melantik TPM. Itulah isi mesejnya, saya akan jadi Perdana Menteri.

Bercakap tentang hasrat Anwar mahu melantik beberapa orang sebagai TPM, kita boleh faham niat beliau yang mahu meraikan pemimpin politik dari Sabah dan Sarawak, walaupun pada hakikatnya bukan jawatan itu yang diminta mereka.

Atas dasar itu, saya ingin mencadangkan kepada Anwar untuk melantik salah seorang daripada dua atau tiga TPM itu dalam kalangan kaum Cina atau India. Beliau wajar mempertimbangkan cadangan saya ini kerana beberapa faktor termasuk PKR sememangnya sebuah parti pelbagai kaum.

Anwar juga menganggap dirinya sebagai ‘bapa’ kepada seluruh bangsa di Malaysia dengan ungkapan, “Anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Sabah anak saya, anak Sarawak juga anak saya.”

Inilah masanya untuk beliau mengotakannya segala kata yang selalu beliau ungkapkan. – UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM, Kuala Lumpur

The post Lantik TPM dalam kalangan Cina, India appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *