KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan diminta menjelaskan segera berkaitan pembinaan sebanyak 1,036 unit rumah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar yang tertangguh sejak 2014.

Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, beliau baru mendapat makluman berkaitan isu kekurangan kuaters TLDM Sepanggar yang merupakan antara janji yang tidak ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, anggota TLDM di Sepanggar kini terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk mencari kediaman sendiri yang terletak jauh dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar

“Ada dalam kalangan mereka tinggal di Tuaran, Inanam serta kawasan perumahan di Sepanggar. Maka, jika berlaku kecemasan yang memerlukan mereka datang segera ke Pangkalan, ia mungkin mendatangkan masalah besar.

“Saya difahamkan proses pemilihan lokasi dicadangkan oleh pihak TLDM Sepanggar tidak dipersetujui pengurusan tertinggi kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Azis, yang juga Ketua Penerangan Warisan itu berkata, jika diberikan mandat pada PRU-15, beliau akan memastikan isu tersebut dibawa ke Parlimen.

“Menteri Pertahanan perlu maklum bahawa isu ini sudah berlarutan hampir 10 tahun. Ia sepatutnya sudah selesai agar anggota tentera dapat memberi tumpuan kepada tugas menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.

Mohd. Azis berkata, difahamkan anak syarikat milik kerajaan negeri juga tidak diberikan peluang untuk melaksanakan projek pembinaan berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau difahamkan pihak TLDM Sepanggar telah bersetuju dengan pelan perancangan awal serta lokasi yang ditawarkan oleh KKIP Development Sdn Bhd.

“Kita dimaklumkan proses tender terbuka juga tidak dilaksanakan secara telus kerana ada pembabitan syarikat kroni dari Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas beliau, sepatutnya pihak pengurusan tertinggi ATM mengambil kira cadangan TLDM Sepanggar yang sudah membuat kajian tapak sejak sekian lama.

“Pengurusan tertinggi kementerian dan ATM tidak memikirkan kebajikan anggota tentera TLDM yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan negara,” katanya. –UTUSAN

The post Lapan tahun berlalu, pembinaan 1,036 rumah TLDM Sepanggar belum dilaksana appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *