PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia  melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia dengan penahanan lapan lelaki warga tempatan di beberapa lokasi di Kelantan semalam.

Kesemua mereka berusia 17 hingga 37 tahun itu ditahan menerusi Op Gelombang dalam serbuan di sekitar Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan mendapati, kesemua mereka berperanan sebagai ‘transporter’ kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut beliau, operasi sama turut menahan 49 PATI terdiri daripada 32 lelaki, 16 wanita  dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar. 

“PATI  berkenaan dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus dan kemudian dipindahkan dengan 10 buah kenderaan ke terminal bas berkenaan.

 “Sindiket ini menyeludup PATI melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia -Thailand dan dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara  RM6,000 hingga RM 7,000 bagi seorang PATI untuk masuk Malaysia,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Kata beliau, kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi  seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah.

“PATI wanita pula ramai  akan bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,” kata beliau. 

Khairul berkata, siasatan awal mendapati transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI  yang dibawa  dari sempadan ke terminal bas awam sebelum menaiki kenderaan awam yang diuruskan. 

“Sindiket ini aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan kedua-dua belah negara dibuka. Sindiket menyasarkan PATI Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini,” katanya.

Katanya, difahamkan, seramai 160 PATI di bawa masuk oleh sindiket berkenaan setiap bulan yang menyebabkan kerugian hasil sebanyak  RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.- UTUSAN

 

The post Lapan `transporter’ seludup PATI cari kerja dicekup appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *