PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti berhubung perbuatan sogokan atau rasuah perlu melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Unit Komunikasi Korporatnya, ini termasuk dakwaan sekiranya berlaku perbuatan sedemikian semasa proses pengundian pos di Parlimen P.090 Bera sebagaimana didakwa.

“SPR menegaskan sekiranya terdapat perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses ketika pengundian pos di Parlimen P.090 Bera sebagaimana didakwa, pengadu yang mempunyai maklumat atau bukti disarankan untuk melaporkan kepada pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera yang mengundi awal di Parlimen Bera dibayar RM300 bersifat fitnah dan merendahkan martabat anggota keselamatan.

Perdana Menteri berkata, dakwaan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Katanya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) perlu sedar dakwaan tersebut bersifat jahat dan perlu memohon maaf kepada anggota tentera.

Anwar sebelum ini mendakwa ada anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU15 kali ini mendapat bayaran ketika berucap di majlis di Terengganu dengan mendakwa, anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian dan meminta SPR menyiasatnya.

Seramai 113,000 anggota tentera termasuk pasangan mengundi awal di 189 pusat mengundi 15 November ini. – UTUSAN

 

The post Lapor SPRM jika ada bukti rasuah – SPR appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *