PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan larangan merokok di semua premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan sejak 1 Januari 2019, munasabah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam sebulat suara berpuas hati tindakan merokok di tempat awam bukan hak asasi yang perlu dilindungi di bawah Perlembagaan.

Mahkamah berpendapat, larangan itu tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak atau bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana ia terpakai kepada semua individu yang mengunjungi premis makanan.

Panel itu yang turut dianggotai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk M. Gunalan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong memutuskan demikian selepas menolak rayuan tujuh individu.

Mahkamah tidak memerintahkan sebarang kos kerana kes itu melibatkan intepretasi undang-undang dan kepentingan awam.

Tujuh individu tersebut merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Oktober 2019 yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan melaksanakan larangan merokok di kedai makan.

Mereka ialah Mohd. Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Mohd. Laisani Dollah, 49, Mohd. Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Muhammad Noor, 56, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43.

Hakim Gunalan ketika membacakan penghakiman itu berkata, mahkamah tidak melihat bahawa larangan itu merupakan satu ketidakadilan kerana Kementerian Kesihatan telah mengambil kira faktor kepentingan awam seperti tahap kesihatan pengunjung dan pelanggan premis makanan.

Panel itu turut berpuas hati terhadap dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kementerian telah mendapatkan maklum balas awam namun tiada bantahan diperolehi daripada orang ramai berhubung cadangan melaksanakan larangan merokok.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh semua perayu.

“Tiada asas bagi panel ini untuk mengganggu atau campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Dengan ini rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” ujar Hakim Gunalan.

Pada prosiding lalu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tujuh individu itu berhujah, larangan merokok yang dikuatkuasakan di kedai makan adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak munasabah kerana ia dibuat tanpa penelitian yang betul dan menyeluruh.

Hujah beliau, sebelum penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan pada 2019, perokok di negara ini boleh merokok di zon khas yang disediakan oleh pemilik kedai makan yang mempunyai penyaman udara dan tidak mempunyai penyaman udara.

Hujah peguam itu, keadaan ini lebih seimbang bagi hak perokok serta bukan perokok iaitu pelanggan yang tidak merokok boleh memilih untuk duduk di tempat yang ditetapkan dan perokok pula boleh merokok di tempat terbuka.

Haniff Khatri berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang ketika memutuskan hak anak guamnya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak dicabuli dan perokok tidak didiskriminasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berikutan penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Kementerian Kesihatan berhujah, larangan merokok di kedai makan adalah munasabah dan tidak menyalahi undang-undang.

Hujah beliau, hak untuk merokok bukan hak asasi untuk hidup dan jika individu memilih untuk merokok, mereka perlu menghormati hak bukan perokok dan mereka (perokok) perlu bergerak tiga meter dari kedai makan untuk merokok.

“Undang-undang itu digubal untuk melarang merokok di kedai makan, mengambil kira kesihatan awam dan kualiti hidup,” katanya.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 31 Disember 2018 dengan menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden, tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) memohon satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan.

Kata mereka, kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri. – UTUSAN

The post Larangan merokok di premis makanan kekal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *