PETALING JAYA: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng digesa menghadiri mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi parti pada 3 November ini bagi memuktamdkan spekulasi Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden parti yang sah. 

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha dalam kenyataan hari ini susulan penyandang Parlimen Julau itu mempersoalkan status presiden parti itu. 

“Ini penting bagi menjawab persoalan dan tanda tanya yang dibangkitkan mengenai kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden PBM yang sah, sepertimana yang telah diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober dan telah diperakui dalam minit mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Ke-6 yang lalu. 

“Panggilan untuk mengadakan mesyuarat ini adalah termaktub di dalam Fasal 21 (1) Perlembagaan Parti Bangsa Malaysia yang membolehkan Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga 1/3 daripada jumlah keseluruhan ahli-ahli Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia untuk diadakan satu mesyuarat bagi menyelesaikan isu-isu tertentu,” katanya. 

Terdahulu, Larry dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, beliau masih Presiden PBM yang sah mengikut rekod daftar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). 

Bagaimanapun, PBM dilihat berhadapan dengan pergolakan apabila Larry menggantung Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, penggantungan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober lalu yang tidak diarahkanya memutuskan Datuk Zuraida Kamarudin sebagai Presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah kosong.

Hizwan dan Zakaria dipercayai bekas ahli PKR dan didakwa ‘orang kuat’ penyandang Parlimen Ampang itu.- UTUSAN

 

The post Larry diminta hadir mesyuarat khas jawab status Zuraida  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *