SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT banyak keistimewaan pada anjing. Deria hidu dan pendengaran merupakan dua anugerah Tuhan yang paling sensitif.

Oleh yang demikian, anjing selalu digunakan dalam misi mencari dan menyelamat. Selain itu, anjing juga banyak digunakan untuk mengesan dadah dan penjenayah. Sebenarnya banyak lagi kelebihan anjing yang belum dimanfaatkan oleh kita.

Sejak sekian lama, kita dapat lihat banyak anjing jalanan berkeliaran mencari makanan dan tempat perteduhan di kawasan perumahan, sekitar bangunan pejabat dan kawasan pembuangan sampah.

Populasi anjing jalanan meningkat secara mendadak sejak pandemik Covid-19 kerana ada pemilik membuang haiwan peliharaan mereka itu di jalanan kerana tidak mampu menanggung kos berikutan kehilangan pekerjaan.

Pihak berkuasa tempatan akan menangkap anjing-anjing jalanan ini jika membahayakan orang ramai dan menimbulkan masalah kepada penduduk.

Haiwan ini akan ditempatkan di tempat simpanan sementara. Jika tidak dituntut oleh pemilik asal atau tiada pihak berminat untuk membelanya sebagai haiwan peliharaan, anjing-anjing ini akan ‘ditidurkan’ buat selama-lamanya.

Saya juga tertarik dengan sekumpulan haiwan itu dari unit anjing pengesan (K9) yang digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, baru-baru ini.

Anjing, seperti manusia juga, mempunyai daya tahan dan jangka hayat tertentu. Ia juga perlu berehat, makan dan minum. Ia bukanlah seperti robot. Dalam laporan di beberapa media massa, beberapa ekor anjing pengesan tersebut mengalami keletihan akibat operasi mencari dan menyelamat berterusan selama 48 jam.

Kasihan

Saya berasa kasihan melihat keadaan anjing-anjing tersebut. Saya mohon agar haiwan pengesan ini dipakaikan jaket keselamatan atau pakaian khas sewaktu operasi untuk memanaskan badan mereka terutama ketika hujan dan pada waktu malam kerana suhu agak sejuk.

Anjing juga mempunyai pelbagai kelebihan lain yang belum kita teroka. Ada kajian mendapati anjing boleh mengesan gempa bumi sebelum ia berlaku.

Dengan deria yang sangat sensitif terhadap gegaran, kemungkinan anjing boleh mengesan pergerakan tanah sebelum berlakunya tanah runtuh. Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk memilih anjing-anjing jalanan yang sesuai untuk dilatih dan dijadikan anjing pengesan tambahan.

Dengan jumlah anjing pengesan yang banyak, maka tugasan dapat dibuat secara bergilir-gilir dalam operasi mencari dan menyelamat ketika bencana serta operasi-operasi lain. Haiwan terbabit dapat berehat dengan secukupnya sebelum tiba giliran untuk bertugas.

Lagipun, anjing-anjing pengesan sedia ada akan meningkat umurnya dari hari ke hari. Akhirnya, anjing-anjing ini akan menjadi tua dan tidak lagi berupaya untuk menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.

Jadi, perlu ada pelapis kepada anjing-anjing sedia ada ini. Penambahan anjing-anjing pengesan tidak terhad kepada pasukan bomba dan polis sahaja, tetapi boleh diperluaskan kepada banyak agensi kerajaan lain.

Saya harap kerajaan dapat menambah peruntukan untuk program latihan, pemakanan, kesihatan dan penjagaan anjing-anjing pengesan terbabit. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

The post Latih anjing jalanan sebagai haiwan pengesan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *