CYBERJAYA: Pemaju hartanah, LBS Bina Berhad (LBS) menjangkakan pencapaian yang lebih baik pada 2023 dengan sasaran jualan sebanyak RM2 bilion.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan pencapaian membanggakan pada tahun lalu dengan jualan melebihi RM2 bilion, iaitu 25 peratus melebihi sasaran awal sebanyak RM1.6 billion.

Ujarnya, menyedari ketidaktentuan ekonomi global, kekurangan tenaga buruh, kenaikan harga bahan binaan serta kadar faedah yang tinggi tahun ini,  LBS telah merangka perancangan strategik bagi mengekalkan prestasi serta meningkatkan lagi sasaran jualan hartanahnya.

“Tahun lalu kami berjaya  mencapai jualan lebih RM2 bilion, melebihi sasaran RM1.6 bilion dan kami boleh capai disebabkan lokasi yang kami pilih, kempen yang bertepatan serta insentif kerajaan kepada pembeli rumah melebihi RM500,000.

“Jadi tahun ini, meskipun disebalik ketidaktentuan ekonomi global ekoran perang Russia dan Ukraine yang masih berterusan dan kadar faedah yang tinggi daripada Amerika Syarikat (AS), kami masih yakin mampu mencapai  sasaran jualan yang ditetapkan sebanyak RM2 bilion,” katanya pada sesi taklimat media tahunan LBS Galeri Jualan [email protected] di sini, hari ini.

Hock San turut mengumumkan LBS bakal melancarkan  12 projek baharu meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM 2.09 bilion dengan 4,021 unit kumulatif.

Katanya, LBS akan memberi tumpuan kepada pelancaran 2,118 unit dengan nilai GDV berjumlah RM1.1 bilion di Lembah Klang, yang secara konsisten berupaya menyumbang jualan tertinggi sepanjang tahun, khususnya di KITA @ Cybersouth, pembangunan perbandaran utama LBS.

“Kumpulan turut merancang untuk melancarkan antara lain, rumah bersambung satu tingkat, rumah bersambung dua tingkat dan rumah bandar di KITA Bestari, sejumlah 817 unit dengan GDV sebanyak RM418 juta.

“Pelancaran lain yang dirancang termasuk 155 unit rumah teres dua tingkat Astella di D’Island Residence di Puchong dengan GDV sebanyak RM139 juta dan Blok B, di LBS Prestige Residence, Seri Kembangan yang akan terdiri daripada 725 unit dengan GDV sebanyak RM313 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buat masa ini, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.7 bilion.

“Sehingga 31 Disember 2022, simpanan tanah masa depan LBS berjumlah kira-kira 2,972 ekar, diunjurkan bagi memastikan LBS kekal bersaing di pasaran hartanah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“LBS juga mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM2.46 bilion, iaitu jumlah jangkaan yang jelas memberikan pendapatan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

The post LBS sasar jualan RM2 bilion 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *