BATU KAWAN: Lebih 3,000 orang menghadiri program Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI) Gathering 2022 yang berlangsung di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini semalam.

Pengasasnya, Mohd. Salleh Ab. Hamid berkata, program yang berlangsung buat kali kedua itu berjaya menyatukan para suami dan bakal suami yang selama ini hanya berinteraksi menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, beliau menyedari kumpulan yang diasaskan dalam media sosial lama-kelamaan akan hilang pengaruh apatah lagi ditubuhkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 pada April 2020.

“Bagaimanapun, saya dan para ‘moderator’ mengambil serius akan pengisian SMAHI dan berusaha merancakkan interaksi supaya kumpulan ini kekal meriah dan relevan. Sehingga kini, terdapat 319,000 ahli yang bernaung di bawah SMAHI dan jumlahnya dijangka terus meningkat. Namun, kita tetap akan kekalkan keahlian hanya untuk para lelaki tidak kira suami ataupun bakal suami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program terbabit diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan memasak, gotong-royong memasak gulai kawah dan cabutan bertuah.

Sementara itu, salah seorang ahli, Amar Akkera Shaari, 37, berkata, dia tidak ketinggalan turut serta biarpun jarang memasak juadah berat buat keluarga.

“Semangat ‘brotherhood’ dalam kumpulan ini amat kuat dan kami semua berborak seperti sudah kenal lama. Saya suka melihat juadah yang dimuat naik ke laman sosial Facebook ahli walaupun jarang memasak, tetapi kadang-kadang ada juga masak makanan ringkas seperti mi goreng. Perjumpaan hari ini meriah kerana masing-masing membawa dan memasak juadah sendiri malah saya turut menyediakan 1,700 cucuk sate untuk dinikmati beramai-ramai,” katanya. – UTUSAN

The post Lebih 3,000 ahli ‘Suami Masak Apa Hari Ini’ berkumpul di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *