JAKARTA: Badan Pencegahan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) sehingga kini merekodkan sebanyak 3,838 bencana berlaku di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, banjir ‘mengungguli carta’ dengan 1,451 kejadian di pelbagai daerah, diikuti 1,008 bencana berkaitan cuaca melampau, 620 tanah runtuh, 250 kebakaran hutan, 27 gempa bumi dan satu letusan gunung berapi.

Wilayah Jawa Barat menjadi lokasi paling banyak merekodkan bencana dengan 794 kejadian sepanjang tahun ini.

Wilayah Papua pula menjadi tempat paling sedikit berlakunya bencana alam iaitu dengan lapan insiden.

Kesemua bencana itu meragut sekurang-kurangnya 832 nyawa, 8,718 cedera dan lebih lima juta penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Bencana alam pada awal tahun ini dimulakan dengan puting beliung yang melanda Luwu di wilayah Sulawesi Selatan pada 8 Januari.

Lapor CNN Indonesia, sebanyak 45 buah kediaman musnah dalam insiden itu.

Di penghujung 2022, Indonesia dilanda beberapa bencana alam secara berturut-turut bermula dari November sehingga Disember.

Kejadian paling buruk adalag gempa bumi Cianjur yang meragut ratusan nyawa pada 21 November lalu.

Bencana itu kemudiannya disusuli dengan beberapa gempa lain termasuk gempa Jember, Sukabumi sehingga Karangasem di Bali.

Gempa Cianjur berlaku pada kekuatan 5.2 skala Richter, namun gegarannya boleh dirasakan sehingga Jakarta, Bandung dan beberapa wilayah lain di pulau Jawa.

Sehingga kini, seramai 620 orang maut akibat gempa tersebut dengan 539 cedera parah dan 114,683 penduduk dipindahkan.

Gempa itu juga menyebabkan 169 kampung terjejas dengan lebih 50,000 rumah rosak.

The post Lebih 3,000 bencana alam landa Indonesia pada 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *