SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyambut baik kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menyatakan mahu mewujudkan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Sehubungan itu, kata Azalina, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diterajui Tan Sri Idrus Harun akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Saya berpendapat usaha yang sedang diambil bagi memisahkan kedua-duanya perlu dilaksanakan dengan segera bagi memantapkan lagi sistem demokrasi dan proses undang-undang dalam negara kita.

Seperti kita sedia maklum, pada masa sekarang Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh di ibaratkan sebagai satu entiti sama seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang.

Pada masa sama, Perkara 145(3) memperuntukkan bahawa Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 145(3), yakni memberikan kuasa mendakwa kepada pihak lain selain Peguam Negara adalah tidak sah dan terbatal. Ini jelas menunjukkan kepada kita kuasa besar yang dimiliki oleh Peguam Negara khususnya di dalam proses pendakwaan kes di mahkamah.

Kedudukan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya disebutkan juga secara khusus dalam Seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah. Pihak mahkamah dalam beberapa perbicaraan sebelum ini telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ada budi bicara mengawal dan mengarah semua pendakwaan jenayah bukan setakat memulakan dan menjalankan mana-mana prosiding jenayah, bahkan juga memberhentikan prosiding yang telah dimulakannya.

Selain itu, pihak mahkamah menegaskan ia tidak ada kuasa mempersoal kuasa budi bicara Peguam Negara itu, apatah lagi memaksa beliau memilih pertuduhan yang lebih berat sekiranya beliau memilih pertuduhan lebih ringan.

Namun, saya berpendapat kedudukan pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara seperti yang diamalkan pada masa kini boleh menyaksikan konflik kepentingan.

Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan. Ini akan mewujudkan konflik kepentingan khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kakitangan atau pegawai tertinggi kerajaan.

Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya usaha untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya daripada AGC dilihat secara serius oleh kerajaan bagi memastikan sistem perundangan dan keadilan dalam negara tidak diragui serta mengundang persepsi negatif daripada orang ramai.

Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, pihak kerajaan boleh membentuk satu jawatankuasa khas bagi menilai usaha ini dengan lebih teliti.

Jawatankuasa terbabit perlu dianggotai dalam kalangan mereka yang memiliki kepakaran dan pengalaman bidang undang-undang negara kita termasuk ahli akademik. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

The post Lebih baik Pendakwa Raya, Peguam Negara berpisah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *