LONDON: Seorang lelaki di United Kingdom (UK) membelanjakan kira-kira 1,500 pound (RM8,135) sebulan untuk menghentikan proses penuaan agar dapat hidup lebih lama.

Malah, lelaki yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) dan menetap di London itu juga menyatakan sanggup mempertimbangkan untuk menjalani proses `membekukan diri’ supaya boleh kembali pada masa depan.

Lapor Metro, Leon Kurita-Goudlock, 36, percaya dengan biohacking iaitu proses `menaik taraf’ fungsi badan dengan bantuan rawatan, ubat-ubatan, pemakanan, aktiviti kecergasan dan kaedah lain.

Ia membantu untuk merangsang aktiviti otak dan penuaan dengan lebih perlahan.

Menurut Goudlock, dia memutuskan untuk menjalani proses tersebut selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

Katanya, dia kini sedang mengambil sehingga 60 biji pil sehari.

“Saya mahu hidup selama-lamanya jika boleh, namun ia tidak mungkin, jadi saya akan melakukan segala yang mampu untuk kekal hidup lebih lama,” katanya.

Goudlock memberitahu biohacking diamalkannya membabitkan lima peringkat yang bermula dengan aktiviti kecergasan sehingga tahap terakhir berpuasa.

Tambahnya, dia melakukan perubahan drastik pada gaya hidupnya 10 tahun lalu bermula dengan tahap 1 biohacking selepas melihat ibu bapanya bergelut dengan masalah kesihatan.

“Setiap hari, saya bangun pada pukul 4 hingga 5 pagi dan melakukan meditasi, pergi ke gim dan minum dua liter air.

“Saya mengawal pengambilan makanan antara 1,500 dan 1,800 kalori sehari serta hanya makan antara 6 petang dan 9 malam, selain berpuasa sepanjang hari,” katanya.

The post Lelaki belanja lebih RM8,000 sebulan untuk ‘hentikan’ penuaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *