ALOR SETAR: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pendawai elektrik didenda RM4,500 di Mahkamah Majistret akibat perbuatan khianat yang dilakukan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Isnin lalu.

Tertuduh, Burhanuddin Hussain, 41, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Muhammad Zul Hilmi turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya tidak membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan khianat dengan mencantas kira-kira 50 batang bendera sebuah parti politik yang menyebabkan kerugian RM1,600.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya di Pendang, dekat sini antara pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Sabirah Ramli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan memandangkan tertuduh seorang duda yang perlu menyara seorang anak berusia 17 tahun dan ibunya berusia 77 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kes itu berkepentingan awam.

Sementara itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian amuk oleh seorang lelaki menggunakan sebilah parang sebelum menahan suspek dan merampas parang itu pada hari kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan polis mendapati suspek tidak terlibat atau menyertai mana-mana parti politik.

“Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran, permusuhan atau menggugat ketenteraman awam.

“Polis Kedah akan sentiasa peka dan respon ke atas perlakuan jenayah seperti ini terutamanya semasa tempoh berkempen PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini. -UTUSAN

 

The post Lelaki didenda RM4,500 cantas bendera parti politik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *