SUNGAI PETANI: Lelaki yang ditahan kerana disyaki merogol gadis orang kurang upaya (OKU) sehingga mengandung dan melahirkan bayi perempuan dibebaskan dengan jaminan polis.

Suspek berumur 45 tahun dan bekerja sendiri itu sebelum ini direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan selepas keluarga mangsa membuat laporan pada 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki itu dibebaskan sementara menunggu keputusan Asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

“Kita membebaskan suspek dengan jaminan selepas menahan reman dia selama seminggu sebelum ini. Sebarang keputusan lanjut akan dibuat Pejabat Pendakwa Raya selepas memperoleh keputusan DNA terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan suspek yang merupakan suami kepada sepupu mangsa ditahan selepas mangsa yang juga seorang gadis OKU kategori masalah pembelajaran melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 4.37 petang, 23 Oktober lalu.

Mangsa tidak mengetahui dirinya mengandung sehingga dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk mendapatkan rawatan kerana mengadu sakit perut.

Bagaimanapun, bayi malang yang menerima rawatan hampir sebulan di hospital itu meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan jantung berlubang.

Sementara itu, Zaidy berkata, mangsa kini masih ditempatkan di wad HSAH untuk menerima rawatan lanjut dan akan dirujuk kepada pakar kaunseling, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebaik dibenarkan keluar dalam masa terdekat ini. –UTUSAN

The post Lelaki disyaki rogol gadis OKU hingga lahir anak dibebaskan dengan jaminan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *