LUMUT: Seorang lelaki maut manakala seorang wanita parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pekan Gurney, Sitiawan di sini tengah malam tadi.

Mangsa, Mohamad Azman Faizal, 20, maut di lokasi kejadian manakala wanita dipercayai kakaknya yang berusia 26 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM).

Pemandu kereta jenis Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan itu cedera parah dan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Difahamkan, penunggang dan pembonceng motosikal baru selesai bekerja syif malam di sebuah restoran makanan segera di Sitiawan dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Baru Setia Awan Perdana sebelum bertembung dengan kereta tersebut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.35 tengah malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, didapati terdapat tiga mangsa dan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave terlibat ketika tiba di lokasi kejadian.

“Berikutan itu, anggota melakukan rawatan awal kepada mangsa yang cedera manakala seorang lagi disahkan maut oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan yang menggunakan ambulans untuk dibawa ke HSM manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau memaklumkan operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Razlan Dimyati itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.47 pagi. – UTUSAN

The post Lelaki maut kemalangan ketika pulang kerja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *