PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Myanmar yang menjadi dalang menyeludup 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara melalui laluan haram antara ditahan menerusi operasi khas yang dijalankan di Terminal Bas Bersepadu (TBS), kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 5.30 pagi itu merupakan rentetan daripada kejayaan operasi terdahulu di lokasi sama pada Disember lepas.

Menurutnya, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM menjalankan operasi khas itu setelah menerima maklumat awam bahawa terdapat sekumpulan PATI yang akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam.

“Mereka dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sempadan Kelantan. Pasukan operasi kemudiannya berjaya mengesan bas yang disyaki membawa PATI berkenaan di Lebuhraya Pantai Timur menghala ke TBS.

“Pemeriksaan ke atas semua penumpang dua buah bas dijalankan secara berasingan dan hasil pemeriksaan, seramai lima lelaki warga Myanmar, lima lelaki warga India dan seorang wanita warga India berusia antara 20 hingga 58 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, salah seorang daripada warga Myanmar yang ditahan disyaki bertindak sebagai dalang yang mengiringi semua PATI untuk menaiki bas dari stesen bas Kota Bharu.

Jelasnya, semakan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan tidak memiliki cap masuk Malaysia manakala empat warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen.

“Warga India terbabit dikesan mempunyai rekod senarai hitam dan dihalang memasuki negara ini berdasarkan kesalahan lampau.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan terminal pengangkutan awam sebagai pusat transit bagi penyeludupan PATI.

“Dalang sindiket akan menunggu bas di terminal dan seterusnya bertindak menguruskan pergerakan PATI yang baru tiba dari negara jiran ke lokasi yang ditetapkan,” ujarnya.

Katanya lagi, berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa memasuki negara ini dengan tujuan untuk bekerja di sekitar ibu negara yang telah diatur oleh pihak sindiket.

Tambah beliau, PATI terbabit mendakwa membayar sebanhak RM7,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan kemasukan ke negara ini.

“Kesemua warganegara asing berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – UTUSAN

The post Lelaki Myanmar dalang seludup PATI ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *