LONDON: Seorang lelaki di United Kingdom (UK) nyaris maut selepas dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal bertindak membaling ketuhar gelombang mikro sehingga menembusi cermin hadapan keretanya.

Lapor Daily Mail, lelaki berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan selepas barangan elektrik dapur itu dibaling ke arah kenderaannya.  

Ketika kejadian, mangsa sedang memandu di Heapham Road di Gainsborough, Lincolnshire pada Sabtu lalu.

Ketuhar gelombang mikro yang dibaling itu menembusi cermin hadapan kereta mangsa sehingga menyebabkannya kaca berkecai dan berselerak di dalam kenderaannya.   

“Mangsa pada mulanya perasan motosikal dinaiki dua orang itu meluru ke arahnya tanpa lampu kira-kira pukul 11 malam (waktu tempatan).

“Ketuhar gelombang mikro itu kemudian dibaling ke arah kereta Ford Fiesta  berwarna biru ketika mangsa sedang memandu,” jelas laporan itu.

Beberapa gambar menunjukkan cermin hadapan kereta mangsa rosak akibat dibaling ketuhar gelombang mikro.  

Polis Lincolnshire kini sedang memburu dua individu yang dipercayai melakukan kejadian tersebut.

Malah, mereka percaya individu berkenaan turut menjadi dalang disebalik insiden kerosakan jenayah yang lain berlaku di bandar itu.

The post Lelaki nyaris maut dibaling ketuhar gelombang mikro appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *