PEMALANG: Kisah seorang lelaki yang memanjat pokok pinus setinggi 20 meter di Desa Banyumudal di Pemalang, Jawa tengah mendapat perhatian pelbagai pihak.

Selepas 10 hari berada di atas pokok tersebut sejak 4 Oktober lalu, lelaki itu akhirnya turun ke tanah, kelmarin.

Lapor Kompas.com, lelaki itu dikenali sebagai Lukman yang merupakan penduduk di Desa Kertoarjo di Pekalongan.

Sepanjang tempoh 10 hari itu, penduduk setempat sudah melakukan pelbagai cara untuk memujuknya turun, namun ditolak lelaki tersebut.

Sebaliknya, dia hanya mengucapkan beberapa perkataan seperti trauma, sakit hati dan takut.

Menurut penyelaras sukarelawan Moga Resque, Ardian Firdos, lelaki itu jelas dalam keadaan murung dan sukar diajak berkomunikasi, selain lemah kerana tidak makan dan minum selama beberapa hari.

“Mujur lelaki itu bersetuju untuk turun kerana keadaannya semakin lemah susulan tidak makan, selain faktor cuaca yang tidak menentu.

“Kami masih belum dapat pastikan mengapa dia memanjat pokok itu, namun besar kemungkinannya dia mengalami kemurungan yang teruk,” katanya.

Antara cara yang dilakukan oleh penduduk setempat untuk memujuk lelaki itu turun dari pokok termasuklah menghulurkan duit dan menghidangkan makanan yang enak.

Sementara itu, ketika turun, beberapa bahagian badan lelaki itu mula membengkak, selain dia sukar berjalan.

The post Lelaki panjat pokok pinus, tidak turun selama 10 hari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *