PETALING JAYA: Polis menahan lelaki disyaki meragut telefon bimbit dari seorang penumpang kereta Perodua Myvi dalam kesesakan lalu lintas di Setapak dekat sini, Sabtu lalu.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam semalam di Setapak oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, rakaman video kejadian ragut berdurasi tujuh saat itu dikesan tular menerusi aplikasi TikTok sejak semalam.

Katanya, video itu menunjukkan kejadian ragut berlaku di Jalan Genting Klang, Setapak pada pukul 3 petang, Sabtu lalu. 

“Ketika kejadian, mangsa berada di bahagian penumpang hadapan kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat dengan cermin kereta dalam keadaan terbuka.

“Pada masa sama, suspek yang menunggang sebuah motosikal datang dari arah belakang terus meragut telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas barang kes iaitu telefon bimbit milik mangsa.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun dan ragut.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 November ini dan siasatan masih dijalankan sama ada suspek turut terbabit dalam kes lain,” katanya. – UTUSAN

The post Lelaki ragut penumpang kereta ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *