TOKYO: Seorang lelaki di Jepun sanggup membelanjakan kira-kira tiga juta yen (RM101,171) untuk kostum serigala buatan tangan demi memenuhi impiannya menjadi haiwan liar itu. 

Kostum itu dihasilkan oleh Zeppet, sebuah syarikat mengkhusus dalam pembuatan sut ultra-realistik yang sebelum ini pernah mencipta kostum anjing collie bagi pelanggan bernama Toco yang mengimpikan untuk hidup seperti haiwan peliharaan itu.   

Lapor Oddity Central, kostum anjing yang direka khas untuk menyesuaikan manusia dengan anatomi anjing, meraih perhatian ramai selepas tular dalam Twitter.

Baru-baru ini, Zeppet memaklumkan syarikatnya menerima tempahan kostum lebih mencabar daripada seorang pelanggan yang mahu merealisasikan fantasinya menjadi serigala.

“Disebabkan kecintaan saya terhadap haiwan sejak zaman kanak-kanak lagi dan melihat sut haiwan realistik yang muncul di kaca televisyen, jadi saya mengimpikan untuk menjadi seperti itu suatu hari nanti.

“Pada sesi pemakaian kostum itu, saya kagum melihat perubahan diri saya di cermin. Ia saat yang mana impian saya menjadi kenyataan,” kata pelanggan itu di laman sesawang Zeppet.

Dilaporkan, pelanggan itu amat berpuas hati dengan pembelian kostum serigala itu meskipun ia menelan perbelanjaan tinggi berbanding kostum anjing Collie yang bernilai 2 juta yen (RM67,437).  

“Tempahan saya untuk ‘kelihatan seperti serigala sebenar adalah sukar, namun kostum yang siap sepenuhnya ini kelihatan seperti apa yang saya bayangkan.

“Spesifikasi kostum itu bukan sahaja melengkapi semua pilihan saya, malah ia turut mempunyai ruang pengudaraan untuk keselesaan pemakai.

“Ia juga mempunyai alat yang memudahkan individu memakai sut itu tanpa pertolongan. Ini secara tidak langsung menunjukkan pereka memberi perhatian yang teliti terhadap keselesaan pemakai,” katanya.

Sementara itu, Zeppet memaklumkan pihaknya mengambil masa 50 hari untuk menyiapkan kostum khas berkenaan.

Jelas syarikat itu, kakitangannya memeriksa gambar serigala sebenar dan berbincang butiran terperinci termasuk cara menggabungkan kesemua ciri itu bagi menghasilkan kostum haiwan berkenaan.  

The post Lelaki sanggup belanja RM101,171 bertukar ‘serigala jadian’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *