IPOH: Tidak puas hati gara-gara ditegur, menyebabkan seorang lelaki bertindak menyerang orang awam yang membantu mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Raja Musa Aziz, di sini semalam.

Video kejadian berdurasi satu minit itu tular di media sosial dengan memaparkan dua lelaki bergaduh berhampiran dua kereta rosak akibat kemalangan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 6.07 petang membabitkan kereta jenis Honda City dan Toyota Camry.

Katanya, kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan melanggar kereta mangsa wanita berusia 52 tahun. 

“Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu kereta Honda City yang memandu di laluan bertentangan trafik.

“Pada masa sama, terdapat orang awam prihatin yang menyaksikan kemalangan telah tampil membantu mangsa namun lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan teguran mengatakan dia menyebabkan nahas lalu bertindak menyerang orang awam itu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, dua laporan polis dibuat masing-masing oleh orang awam dan wanita yang keretanya terlibat kemalangan dengan suspek.

Katanya, berikutan itu, suspek ditahan di Jalan Lahat pada pukul 12.10 tengah hari tadi.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan di Mahkamah Majistret Ipoh esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

The post Lelaki serang orang awam tidak puas hati ditegur punca kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *