CYBERJAYA: Padah cuba mengintai jiran mandi, seorang lelaki yang juga pelajar warganegara asing berjaya ditahan polis petang tadi.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pukul 4 petang tadi di sebuah kondominium di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang juga pelajar sebuah kolej universiti berusia 20 tahun melaporkan kejadian itu kepada polis pukul 2 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian itu disedari jiran mangsa yang mendakwa sempat melihat suspek memanjat ruang tepi berdekatan tandas rumah mangsa untuk mengintai.

“Saksi juga mendakwa suspek turut membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai. Bagaimanapun, mangsa tiada di rumah ketika itu.

“Saksi turut melihat suspek melarikan sehelai seluar milik mangsa. Saksi turut sempat merakam perbuatan suspek menggunakan telefon pintar. Saksi juga cuba mengejar suspek, namun, suspek sempat melarikan diri sambil memegang sesuatu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek turut ditahan bersama sehelai baju warna putih, sehelai seluar pendek warna hitam dan sepasang selipar warna hitam serta sebuah telefon bimbit.

Wan Kamarul Azran berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 atau 379 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati, suspek adalah seorang pelajar dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Video asal perbuatan suspek sempat dikongsi menerusi aplikasi TikTok petang tadi, namun semakan mendapati video itu telah dipadam.

Bagaimanapun, awal Disember lalu, seorang pengguna TikTok, Shafifyna mendakwa pernah berdepan situasi serupa dan diintai lelaki tidak dikenali di kondominium sama. – UTUSAN

The post Lelaki warga asing ditahan cuba intai jiran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *