PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) optimis mampu merampas kembali Parlimen Lembah Pantai setelah gagal mempertahankan kerusi panas itu sejak 2008.

Calon BN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi tersebut, Datuk Ramlan Askolani berkata, keyakinan itu selepas melihat penurunan sokongan penduduk terhadap penyandang, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sokongan terhadap Fahmi sudah menurun. Orang-orang dia yang dahulu penyokong kuat sudah berpaling arah kerana tiada apa perubahan yang dilakukan di sini.

“Segala janji yang ditaburkan seperti penghapusan tol di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) tidak ditunaikan. Bahkan mereka tahu di belakang PKR adalah DAP. Jadi mereka tidak mahu itu,” kata beliau  kepada Utusan Malaysia.

Ramlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai berkata, dalam tempoh berbaki empat hari kempen ini, jentera BN akan terus membuat lawatan dari rumah ke rumah, memperkasa penggunaan media sosial dengan ‘blast’ kepada seluruh pengundi.

“Apa jua aktiviti yang dijalankan sejak 2018 akan diteruskan antaranya lawatan ke balai polis dan bomba, melawat penduduk yang sakit serta akan mengerah pengundi-pengundi untuk turun mengundi pada 19 November,” kata beliau.

MINI STADIUM

Kata beliau, jika BN menang di Parlimen Lembah Pantai, beliau bercadang untuk membina mini stadium yang meliputi pelbagai kemudahan seperti padang bola, trak larian, gimnasium, gelanggang badminton dan sepak takraw.

“Malah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dibatalkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah akan dibangunkan semula,” kata beliau.

Calon BN Parlimen Marang, Jasmira Othman pula berkata, peratusan sokongan pengundi terhadap parti itu kini setara dengan Perikatan Nasional (PN) iaitu 50-50, sekali gus menambah kekuatannya untuk mencipta kejutan menjelang hari pengundian.

Katanya, walaupun berdepan lawan merupakan gergasi politik, namun tidak sesekali melemahkan semangatnya untuk berjuang merampas kerusi yang disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Ramai menggelar saya calon underdog, tetapi saya tidak tertekan dan akan berusaha sehabis baik, tidak mustahil kejutan bakal berlaku untuk rakyat Marang.

“Saya tengok gelombang sokongan rakyat kali ini luar biasa, malah kalangan penyokong Pas pun didapati sudah beralih kepada kita,” katanya.

Menurut Jasmira, sekiranya BN berjaya menguasai Marang, antara pembaharuan yang akan dibuat ialah membina hospital selain sekolah berasrama penuh.

Di samping itu, Jasmira juga berazam membangunkan kompleks sukan bagi keperluan belia di kawasan berkenaan.- UTUSAN

 

The post Lembah Pantai, Marang boleh kembali kepada BN? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *