PUTRAJAYA: Lim Hui Ying yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan bertekad untuk memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada kementerian dalam menaik taraf sistem pendidikan di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Tanjong itu, beliau juga akan berganding bahu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta warga kementerian untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik.

“Ini hari pertama saya ‘clock-in’ dan saya pun tidak akan ulas banyak tapi saya akan beri kerjasama kepada menteri dalam menaik taraf pendidikan di negara kita.

“Saya juga rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana yakin dengan saya untuk menjawat jawatan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu seterusnya secara rasmi memulakan tugas di Kemeterian Pendidikan di sini hari ini.

Terdahulu beliau diiringi Fadhlina turut disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali meluangkan masa beramah mesra bersama pengurusan kanan.

Bagaimanapun, Hui Ying enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa pemilihannya sebagai timbalan menteri atas dasar beliau merupakan anak kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.

Hui Ying juga memilih untuk tidak memberikan sebarang komen semasa diajukan soalan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Tiada komen untuk isu ini, ini adalah hari pertama saya. Biar saya (dapatkan taklimat) lebih faham berkaitan hal berkenaan,” ujarnya.

Hui Ying, 59, yang juga adik kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan antara muka baharu dalam barisan timbalan menteri yang diumumkan Anwar pada 9 Disember lalu.

Beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara yang dilantik pada 2018 mewakili Pulau Pinang. – UTUSAN

The post Lim Hui Ying mahu kerjasama naik taraf sistem pendidikan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *