SYDNEY: Lima singa Afrika terlepas dari kurungan di Zoo Taronga, Australia, sehingga menyebabkan polis terpaksa membuat sekatan pergerakan kecemasan hari ini.

Sekatan itu membolehkan pihak berkuasa dan kakitangan zoo mengesan haiwan berkenaan yang dikhuatiri menyerang orang awam.

Penggera kecemasan dibunyikan di seluruh zoo, manakala lokasi tarikan pelancong itu ditutup buat sementara waktu sehingga kesemua singa berkenaan berjaya dikesan.

Pengarah eksekutif Zoo Taronga, Simon Duffy memaklumkan seekor singa sudah dikesan dan ditenangkan kakitangan zoo.

“Ini adalah insiden kecemasan dan semakan lanjut kini dijalankan untuk mengesan punca bagaimana haiwan itu boleh terlepas dari kawasan kurungan.

“Kami tidak mempunyai butiran lanjut mengenai kejadian dan bagaimana perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Zoo Taronga terletak di kawasan perbandaran yang mewah dengan pemandangan Sydney Opera House dan jambatan di pelabuhan.

Tinjauan juga mendapati penjaga zoo dilihat menjalankan pemeriksaan pada pagar kandang singa bagi mengesan sebarang kerosakan.

Zoo itu mempunyai dua singa dewasa bernama Maya dan Ato, selain lima anak, Khari, Luzuko, Malika, Zuri dan Ayanna.

Seekor singa Afrika jantan dewasa boleh mencecah berat sehingga 250 kilogram, manakala singa betina mencapai berat sehingga 180 kg.

Sebelum ini, harimau Bengalla berusia dua tahun berjaya lolos dari kandangnya di Zoo Taronga, pada 1946.

Harimau itu kemudian berkeliaran di kawasan zoo dan kejadian berkenaan disifatkan sebagai ‘ketakutan melampau’ sebelum haiwan itu ditembak penjaga zoo. – AFP

The post Lima ekor singa terlepas dari kurungan, Zoo Sydney ‘lockdown’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *