KUANTAN: Kerajaan menerusi Kementerian Luar berjaya membawa pulang lima warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesemua mereka di bawa pulang semalam melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh. 

Beliau berkata, kesemua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 12.05 tengah hari semalam melalui penerbangan dari Siem Reap, Kemboja.

“Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.

“Kejayaan membawa pulang mangsa-mangsa sindiket ini secara berterusan adalah hasil kerjasama rapat di antara kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan pihak kerajaan Kemboja yang turut memberikan perhatian serius berhubung isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, setakat semalam, Kementerian Luar merekodkan seramai 453 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand. 

“Daripada bilangan itu, seramai 269 orang dihantar pulang manakala 52 orang lagi masih berada di depoh imigresen di negara-negara berkenaaan bagi proses selanjutnya.

“Kementerian juga akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi mengesan seramai 132 orang lagi yang dilaporkan masih belum dapat dijejaki setakat ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai tujuh warganegara Malaysia yang bekerja sebagai ‘forex investor’ di sempadan Kemboja-Vietnam akan dihantar pulang ke tanah air pada hari ini, dengan kerjasama kerajaan Johor.

“Bagaimanapun, kumpulan ini tidak boleh dikategorikan sebagai mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan mengambil kira kesemua mereka bekerja secara sukarela dan bebas untuk keluar masuk dari kawasan tempat kerja.

“Kementerian menasihatkan warganegara Malaysia yang ingin bekerja di luar negara supaya sentiasa mematuhi peraturan sesebuah negara, memastikan kontrak pekerjaan dimeterai serta visa pekerjaan diperolehi terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke negara destinasi,” ujarnya. –UTUSAN

The post Lima mangsa sindiket pekerjaan di Kemboja dibawa pulang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *