SHAH ALAM: Perbuatan lima ‘mat rempit’ bersahabat ‘merempit’ di lebuh raya tahun lalu menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan demikian selepas semua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Tertuduh iaitu Muhammad Danial Hakim M. Satar, 24; Wan Mohamad Faizal Wan Rosli, 25; Mohamad Arizal Jaamad, 28; Wan Shahadil Wan Muhamad, 26; dan Pitri Alias, 27. 

Mengikut pertuduhan, mereka yang menetap di taman perumahan sama di Rasa, Hulu Selangor didakwa menunggang motosikal masing-masing di atas jalan raya dengan cara yang ada atau mungkin membahayakan orang awam.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 27.5 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini, kira-kira pukul 1.50 pagi, 7 Mei tahun lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Empat daripada ‘mat rempit’ terbabit bekerja sebagai operator kilang manakala seorang lagi pekerja bengkel.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian memohon hukuman setimpal atas perbuatan tertuduh yang bukan saja membahayakan diri malah nyawa pengguna jalan raya lain.

“Selain itu, kes seumpama ini dilaporkan kerap berlaku dan hukuman diharap menjadi pengajaran berguna kepada tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili semua tertuduh memohon pengurangan kerana faktor usia dan mempunyai tanggungan keluarga.

“Kesemua anak guam saya masih muda dan empat daripadanya tinggal bersama keluarga selain menanggung kedua ibu bapa mereka.  Ini merupakan kesalahan kali pertama mereka dan meminta hanya melibatkan penggantungan lesen motosikal,” katanya.

Muhammad Syafiq memerintahkan penjara sehari dan tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda RM5,000. Kesemua tertuduh membayar denda itu. – UTUSAN

The post Lima ‘mat rempit’ dijel sehari, denda RM5,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *