SHAH ALAM: “Lima minggu sudah cukup jauh untuk saya. Sebenarnya, setiap kali segmen Ada Lagu, Ada Lagi, saya sudah bersedia sekiranya tersingkir. Sampai di sini sahaja rezeki saya.”

Itu kata-kata penyanyi, Pat Candy yang gagal meneruskan langkahnya di Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan selepas mendapat markah terrendah iaitu 58.40 menerusi persembahan lagu Babak Pertama (nyanyian asal Drama Band) bersama Aepul Roza.

Jelasnya, ramai peserta mempunyai kekuatan vokal dan kelebihan persembahan berbanding dirinya, namun dia bersyukur mampu bertahan sehingga minggu kelima.

“Minggu lepas juga saya berada pada kedudukan akhir, tetapi tidak tersingkir. Mungkin ia raptai untuk minggu ini. Terima kasih kepada peminat yang menyokong. Nantikan single baharu saya selepas ini.

“Bila kita tengok persembahan peserta lain, kita tahu kedudukan kita di mana. Saya bersedia dan reda. Bersyukur dengan rezeki Tuhan beri,” katanya.

Konsert minggu kelima itu menyaksikan Jaclyn Victor yang menyanyikan lagu Cinta (nyanyian asal Marsha Milan) bersama Aina Abdul masih mengekalkan tempat pertama seperti minggu lalu.

Persembahan yang mendapat standing ovation daripada juri tetap, Hetty Koes Endang tersebut meraih markah tertinggi iaitu 92.40.

Jaclyn juga memenangi anugerah Bintang Memukau Adabi dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta barangan Adabi bernilai RM500.

Dalam pada itu, ditanya tentang single baharu, Pat berkata, mereka masih dalam proses merakam lagu tersebut dan bakal melancarkan buah tangan tersebut tidak lama lagi.

“Saya akan kembali aktif. Material single baharu sudah ada, cuma sedang dalam proses rakaman. Insya-Allah, tidak lama lagi,” katanya.

The post Lima minggu sudah cukup jauh untuk saya – Pat Candy appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *