KLANG: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta Proton Prima dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dekat persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

Mangsa terdiri daripada Mohd. Affendy Abd. Aziz, 59; Jaaria Abdul Rajak, 50;  Arisha Mohd. Affendy, 26; Adreen Mohd. Affendy, 28 dan Adam Mohd. Affendy, 22, dikatakan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurut, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.09 petang sebelum mengerahkan enam sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

“Kereta dinaiki lima sekeluarga itu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda terbabit di persimpangan lampu isyarat berdekatan Kompleks Sukan Pandamaran.

“Menurut beberapa saksi ditempat kejadian, Toyota Hilux dari arah Pelabuhan Klang ke bandar Klang memandu laju ketika berada persimpangan berkenaan dipercayai mengejar lampu hijau.

“Bagaimanapun, tindakan sedemikian menyebabkan Proton Prima tersebut bertembung dengan Toyota Hilux, yang pada ketika itu lampu isyarat dekat laluan mereka bertukar hijau,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, susulan kejadian, dua mangsa di tempat duduk belakang tersepit dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas manakala tiga lagi berjaya keluar sendiri dari kereta selepas kejadian.

“Empat mangsa mengalami cedera ringan kecuali, Jaaria yang patah kaki kirinya. Kesemua mangsa kemudian di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan.

Namun, tambah Norazam lagi pemandu Toyota Hilux terbabit tidak kelihatan selepas tragedi itu. – UTUSAN

The post Lima sekeluarga nyaris maut, Hilux kejar lampu hijau appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *