SAUDARA PENGARANG,

PERINGKAT perkembangan yang dilalui oleh kanak-kanak menjadikan mereka lincah dan aktif. Mereka kelihatan seolah-olah tidak pernah kehabisan tenaga untuk bermain. Kelincahan kanak-kanak ini adakalanya menjadikan mereka dilabel sebagai ‘anak nakal’.

Terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan kenakalan anak-anak. Pertama, pastinya adalah gaya asuhan dan didikan di rumah. Keluarga atau penjaga memainkan peranan penting dalam mencorak keperibadian kanak-kanak.

Selain itu, segelintir ibu bapa atau orang dewasa juga sering membiarkan tingkah laku nakal anak-anak kerana beranggapan bahawa mereka masih kecil dan kenakalan itu adalah normal. Namun, tanpa disedari ada kesan negatif yang mungkin boleh timbul akibat perkara ini.

Tidak dinafikan bahawa anak yang nakal atau banyak akal akan mempunyai lebih banyak pengalaman kerana mereka melalui dunia penerokaan dengan pelbagai percubaan. Mereka bebas untuk mencuba dan mempelajari perkara baharu. Kenakalan pada peringkat awal usia kanak-kanak adalah normal.

Pada peringkat ini, salah satu tugas perkembangan anak-anak adalah meneroka dunia persekitaran. Kanak-kanak yang berjaya melaksanakan tugas pada peringkat ini membolehkan mereka terus berkembang ke fasa kehidupan yang seterusnya.

Namun, sebagai ibu bapa, kita harus ingat bahawa kanak-kanak ini sentiasa memerlukan bantuan untuk memandu tingkah laku mereka. Hal ini termasuklah untuk membezakan yang baik atau salah.

Kanak-kanak yang dibiarkan meneroka dunia secara sendiri dibimbangi akan menerapkan pemikiran dan nilai tidak tepat dalam hidup.

Wujud kemungkinan kebiasaan tingkah laku yang diamalkan pada peringkat usia kanak-kanak akan dibawa sehinggalah dewasa, yang mana boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan personaliti anak-anak ini. – UTUSAN

DR. NORFAEZAH MD. KHALID
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

The post Lincah tidak semestinya nakal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *