SAUDARA PENGARANG,

MESKIPUN kerajaan memberikan lebih perhatian untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40), golongan berpendapatan sederhana (M40) tidak boleh dilupakan. Ini kerana mereka juga tidak terlepas dari tekanan kos sara hidup yang meningkat.

Bahkan sebahagian M40 sukar untuk membeli rumah dan kereta disebabkan komitmen yang tinggi dalam pinjaman dan perbelanjaan harian.

Menurut dapatan kajian oleh Universiti Malaya (UM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, seramai 61.4 peratus B40, 42.4 peratus M40 dan 24 peratus golongan berpendapatan tinggi (T20) merasakan pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.

Sebanyak 38.9 peratus, 26.9 peratus dan 11.5 peratus dari golongan B40, M40 dan T20 mempunyai pendapatan yang kurang daripada perbelanjaan, di mana kekurangan pendapatan ini terpaksa ditampung dengan berhutang.

Kebanyakan M40 merupakan pentadbir, birokrat dan penjawat awam yang mempunyai tanggungjawab besar dalam melaksanakan tugasan dari peringkat atasan ke peringkat bawahan.

Tambahan pula, golongan M40 merupakan pembayar cukai paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah pembayar cukai. Di Malaysia, hanya individu yang pendapatan bulanannya melebihi RM3,111 ditaksir dan dicukai.

Ini bermakna semua golongan M40 adalah pembayar cukai yang sebahagiannya menyumbang kepada kutipan cukai berjumlah RM174.37 bilion pada 2021. Oleh itu, kategori bantuan M40 selepas ini hendaklah lebih bersasar dan fokus kepada pecahan kategori yang ingin dibantu kerajaan termasuk golongan bujang.

Langkah ini dijangka akan mengurangkan beban golongan M40. Manfaat yang bakal diperoleh golongan ini juga dijangka menjadi suatu motivasi kepada golongan ini untuk terus menyumbang kepada negara dalam pelbagai bentuk sumbangan.

Selain itu, pihak kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menarik balik subsidi petrol secara pukal. Golongan-golongan ini juga perlu dihargai sebagai pembayar cukai.

Ini kerana penarikan balik subsidi petrol akan menyebabkan kenaikan harga barangan ekoran kenaikan kos secara berantai pada masa akan datang. – UTUSAN

DR. ELYA NABILA ABDUL BAHRI
Universiti Malaya

The post Lindungi kebajikan golongan M40 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *